PHOTO SAMBUTAN TAHUN BARU TIDAK BOLEH ‘ UPLOAD ‘ DI PAGE INI KERANA MEMPUNYAI ‘ RESOLUTION’ YANG TINGGI SILA KLIK KE Facebook..

Islam Tentukan Adab Sambut Tahun Baru
Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat…”
BERASASKAN peredaran bulan dan matahari manusia mencipta kalendar Hijriah dan Masehi. Bagaimanapun, kalendar Masehi lebih banyak digunakan dalam pelbagai urusan, manakala kalendar Hijriah sesekali saja dan itu pun untuk tujuan keagamaan.
Apa pun, kedua-dua sistem kalendar itu atas ketentuan Allah. Ayat 5, surah Yunus bermaksud: *Dialah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya. Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa….*
Rasulullah menetapkan umat Islam mesti mengikut peredaran bulan bagi menentukan bulan dan tahun mereka, bukannya peredaran matahari. Ia bertepatan dengan sabda baginda yang menjelaskan setiap bulan sama ada 29 atau 30 hari.
Jika mengikut kalendar Masihi, kita kini berada di tahun baru. Bagi manusia yang waras, ketibaan tahun baru ini sudah tentu menjadi satu kebanggaan, tidak kira mereka hamba yang taat, suka melakukan maksiat, kufur terhadap Allah atau langsung tidak mempunyai ideologi.
Kebanggaan ini dapat dilihat apabila pelbagai acara sambutan diadakan dan dalam kepelbagaian acara ini, ada yang menjurus kepada keredaan Allah dan tidak kurang pula terjebak dengan unsur maksiat.
Hamba yang takut terhadap Allah menyambutnya dengan penuh rasa keinsafan dan menyesal atas kesilapan tahun lalu, malah berazam untuk tidak melakukannya lagi. Mereka juga istiqamah pada landasan pengabdian.
Mereka yang lalai lazimnya menyambut kedatangan tahun baru dengan pesta yang boleh mendatangkan unsur syirik dan maksiat. Golongan ini, sama ada dalam keadaan sedar atau tidak memekik seperti dirasuk.
Kepelbagaian acara sambutan tahun baru menyebabkan sesetengah masyarakat keliru, yang mana berunsurkan Islam, kebaratan dan langsung menyimpang daripada sebarang ajaran agama di dunia?
Dalam hal ini, Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata walau apa pun cara sambutan ia perlu diawasi supaya tidak terkeluar daripada adab keislaman.
Menurutnya, semua masyarakat perlu menyambut tahun baru dengan penuh keinsafan, melihat kembali apa yang dilakukan setahun lalu dan cuba berfikir mengenainya supaya menjadi pengajaran dalam menjalani kehidupan.
*Menyambutnya bukan dengan memekik dan melolong. Kita kena bersyukur dan bermunajat, iaitu berdoa supaya mendapat kebaikan pada tahun baru,* katanya, sambil menambah, tiada tegahan dalam Islam terhadap acara menyambut tahun baru masehi, malah mengiktirafkannya.
*Benda macam itu, tiada masalah. Tidak semestinya kena solat hajat. Cuma acara sambutan itu hendaklah ada batasannya,* katanya.
Dr Mahmood Zuhdi berkata, sambutan yang dihiasi dengan pekikan dan sorakan berlebih-lebihan sehingga melalaikan bukan saja dari sudut ajaran Islam, malah langsung tidak disebut dalam agama lain, termasuk Kristian.
*Sambutan seperti itu cara orang terpesong daripada agama. Kristian sendiri ada caranya. Aliran macam itu terjadi disebabkan arus pemodenan. Tamadun Barat sendiri, mereka tinggal agama,* katanya.
Katanya, walaupun hampir keseluruhan orang Barat menganuti Kristian,kebanyakannya memisahkan agama itu daripada kehidupan mereka, malah memperlekehkannya. Justeru, menurutnya, tidak wajar umat Islam di negara ini meniru cara orang Barat khusus mengenai cara sambutan tahun baru, kerana cara mereka itu sendiri terkeluar dari ajaran agama mereka. Dari satu sudut kedatangan tahun baru secara langsung membawa makna usia seseorang itu semakin meningkat dan jangka hayat semakin pendek, menunjukkan kita semakin hampir dengan maut. Walau apa pun aspek ini jarang diambil peduli, melainkan golongan muqarrabin (hamba mendampingi Allah).
Kedatangan tahun baru Masehi ini juga diharap melakarkan detik sejarah yang menggembirakan, bukan lagi peristiwa pahit dengan pelbagai tragedi memilukan seperti tahun lalu yang tidak henti-henti mengejutkan masyarakat. Dalam mengimpikan lakaran manis ini, tekad dan usaha semestinya
dipertingkatkan. Kejayaan sekali-kali tidak datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni tidak dapat dicapai.
Bagi mencorakkan perjalanan hidup sepanjang tahun ini, asas utama perlu ditekankan ialah tujuan hidup, iaitu semata-mata untuk beribadah, bukan untuk berseronok atau sebarang kepentingan lain.
Ini sesuai dengan kejadian manusia seperti dihuraikan Allah melalui sepotong ayat daripada surah al-Dzariyat yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” Merujuk kepada maksud ayat itu, kehidupan manusia tidak lain bertujuan beribadah pada Allah. Pengertian ibadah itu bukan dalam konteks sempit, setakat solat dan puasa, malah meluas sesuai dengan ungkapan *Islam adalah cara hidup.*
Ibadah yang sempurna lahir apabila akidah betul, iaitu mengesakan Allah dan mentaati syariat dibawa Rasulullah. Ini membawa makna ibadah yang dilakukan dengan tidak menetapi kehendak itu sia-sia. Justeru, apabila tindak-tanduk menyimpang dari asas utama itu kehidupan seseorang itu menjadi sia-sia dan tiada makna, walaupun bersama-sama orang lain melangkah ke tahun baru dan mendapat limpahan kesenangan duniawi.
Cabaran dan dugaan menunggu di depan, sama ada dalam rupa keseronokan atau kesedihan dan kesenangan atau kealpaan. Tiada yang mengetahui, selain Allah. Bagi menghadapinya, kita perlu muhasabah diri dan seboleh-bolehnya melakukan yang terbaik setiap hari.
Umat Islam juga harus menjadikan tahun baru ini sebagai titik tolak untuk memperelokkan akhlak, dengan mencontohi peribadi Rasulullah. Baginda contoh terbaik, sehingga diiktirafkan melalui firman Allah, bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad ) mempunyai akhlak yang paling mulia.” (Al-Rum:4) Saidatina Aisyah apabila ditanya mengenai akhlak Rasulullah, berkata: “Akhlak baginda itu adalah al-Quran”.
Aspek ini merangkumi terhadap Pencipta seperti cinta, taat atau patuh yang tidak terkira, malah bersifat sabar, reda, syukur, takwa, wara’, zuhud dan ikhlas dalam setiap amalan. Sesama manusia perlu adil, jujur, suka menolong dan tidak berdengki khianat supaya dengan asas ini dapat menikmati kehidupan dalam harmoni sepanjang tahun.
dipetik dari al-azim.
SAMBUTAN TAHUN BARU 2010
Sambutan 2010 meriah
 |
|
Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor
|
KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kedatangan tahun baru 2010 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara malam tadi.
Di ibu negara, sambutan ambang tahun baru diadakan di beberapa lokasi dengan beberapa aktiviti yang berlainan daripada kebiasaan.
Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 warga kota membanjiri kawasan persekitaran tasik di situ dan mereka dihiburkan dengan persembahan pancutan air berirama bermula pukul 9.25 malam.
Persembahan itu ternyata menghidupkan suasana sambutan sambutan tahun baru di kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.
Kemuncaknya ialah persembahan bunga api yang bermula tepat pukul 12 tengah malam serentak dengan lapan lagi persembahan seumpamanya di lokasi berbeza di sekitar ibu negara.
Di Dataran Merdeka pula, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bersama kira-kira 30,000 warga kota meraikan sambutan tahun baru 2010 dengan Konsert Ambang 2010.
Konsert itu merupakan anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api tepat pada detik 12 tengah malam.
Antara artis terkenal yang menghiburkan pengunjung ialah Ella, Kumpulan Hujan, Bunkface dan Amy Search selain persembahan tarian 1Malaysia daripada kumpulan Permata Negara.
Sebelum acara dimulakan, pengunjung mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan amanat tahun baru.
Di Bukit Bintang, sambutan tahun baru 2010 juga meriah apabila kira-kira 2,000 warga kota pelbagai kaum termasuk warga asing hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.
Di Menara Kuala Lumpur, sambutan tahun baru menampilkan kelainan apabila seramai 10 orang penerjun tempatan membuat penerjunan tanpa henti bagi memeriahkan acara.
Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan bunga api di sekitar ibu negara dari Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, 50 pengunjung tempatan dan 50 pengunjung luar negara yang paling awal berpeluang mengadakan lawatan ke Pelantar Pemandangan dan Air H20.
“Penerjunan tanpa henti bermula dari pukul 9 malam hingga 1 pagi bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru,’’ katanya.
Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd. Faiz Mohd. Nor Lidzan, 23, berkata, ini merupakan peluang terbaik untuk dia dan rakannya turut sama menyambut tahun baru dengan warga kota yang lain.
Pekerja bahagian teknologi komputer Universiti Malaya (UM), Syafawil Malifuad, 29, pula berkata, sambutan tahun baru di negara ini amat meriah dengan pelbagai aktiviti.
Kemeriahan sambutan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang hanya mahu dikenali sebagai Tony, 50, dari Australia yang menyifatkan pengalaman menyambut tahun baru di Bukit Bintang sebagai menakjubkan.
Dia dan pasangannya, Debbie Dewhirst, 50, gembira kerana dapat bersama-sama dengan pelbagai kaum di Malaysia meraikan sambutan tahun baru 2010.
“Saya kagum melihat pelbagai kaum di Malaysia bersama-sama meraikan sambutan tahun baru dalam suasana aman,’’ ujarnya.
Alireza Ismail Jamal, 35, dari Iran yang berkunjung ke Bukit Bintang bersama ahli keluarganya turut kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini.
“Jika ada peluang kami mahu bersama-sama meraikan tahun baru di Malaysia pada tahun depan,” katanya.